Pemain pertahanan kebangsaan Indonesia, Sandy Walsh mengakui bahawa Indonesia merupakan pilihan ketiganya untuk beraksi di pentas antarabangsa.
Beliau berkata di dalam sebuah audio siar yang dimuatnaik di akaun tiktok Sport77 Official bahawa dia perlu memilih sama ada mahu mewakili Ireland atau Indonesia ketika berusia awal 20-an.
“Sebenarnya saya mempunyai dua pilihan, iaitu (mewakili) Ireland atau Indonesia lebih kurang lima atau enam tahun yang lalu,” jawabnya apabila ditanya mengapa beliau memilih pasukan Indonesia.
Akan tetapi, beliau teringat pesanan datuknya untuk mencuba mewakili negara kelahiran datuknya itu iaitu Indonesia sekiranya tidak dipanggil oleh skuad kebangsaan Belanda.
“Dan saya teringat pesanan datuk saya dari Surabaya yang mahu saya bermain untuk pasukan Indonesia sekiranya tidak dipilih untuk mewakili Belanda,” tambah pemain berusia 28 tahun itu.
Pemain kelahiran Brussels, Belgium itu akhirnya menuruti pesanan datuknya itu dan setiap kali turun beraksi beliau sering teringat momen di mana datuknya itu menitip pesan kepadanya.
Beliau juga turut berkongsi perasaan kagumnya terhadap negara tersebut, para peminat bola sepaknya dan betapa besarnya cinta rakyat Indonesia terhadap sukan bola sepak yang disifatkannya sebagai luar biasa.
Sandy Walsh yang kini sedang bermain untuk kelab Mechelen di Liga Pro Belgium telah melakukan debut bersama skuad Sang Garuda pada perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan pada September yang lalu.