Skuad Indonesia Bawah 23 Tahun (B-23) terpaksa mengharungi aksi separuh akhir Piala Asia B-23 2024 tanpa khidmat peledak utama, Rafael Struick.
Struick tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang Uzbekistan kerana perlu menjalani penggantungan satu perlawanan. Keadaan ini berlaku selepas beliau memiliki dua kad kuning sepanjang kejohanan.
Struick sebelum ini mengutip kad kuning semasa menentang Jordan dalam saingan Kumpulan A. Penyerang berusia 21 tahun itu kemudiannya mengutip satu lagi kad kuning dalam aksi suku akhir menentang Korea Selatan.
Struick mengakui kesal tidak dapat membantu rakan sepasukannya beraksi di peringkat separuh akhir. Pada masa sama, beliau percaya Tim Garuda mampu memberi cabaran kepada The White Wolves.
“Menurut saya, jujur, itu agak bodoh. Tapi itu sudah terjadi. Sekarang, kami harus lupakan (apa yang berlaku.
“Saya akan menyokong Timnas Indonesia B-23 dari bangku penonton. Semoga kami bisa menang dan kemudian saya bermain di final Piala Asia B-23,” katanya seperti yang dilaporkan Bola.com.
Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong dijangka menurunkan Ramadhan Sananta atau Hokky Caraka sebagai peledak utama pasukan. Beliau juga mempunyai pilihan untuk menurunkan Witan Sulaeman sebagai false nine menggantikan Struick.
Sejak tampil dalam saingan Piala Asia B-23, Struick telah menyumbang dua gol daripada tujuh gol Indonesia sepanjang kejohanan. Bakinya disumbang oleh Witan, Komang Teguh dan Marselino Ferdinan.
Indonesia bakal turun menentang Uzbekistan esok pada jam 10.00 malam untuk merebut slot ke final. Aksi separuh akhir ini bakal berlangsung di Stadium Abdullah bin Khalifa.