Sukan bola sepak Indonesia terus mendapat sokongan penuh kerajaan yang diterajui Presiden, Prabowo Subianto.
Ini selepas Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memaklumkan badan induk itu menerima suntikan dana kerajaan berjumlah Rp277 miliar (RM77 juta).
Dana tersebut akan digunakan bukan saja untuk memperkasa program Tim Garuda. Malah, Erick memaklumkan dana tersebut bakal digunakan untuk merealisasikan program PSSI terutama di peringkat akar umbi.
“Terima kasih kepada Bapak Presiden, Jeneral TNI (Purnawirawan) Prabowo Subianto atas penyaluran dana sebesar Rp 277 miliar (RM77 juta) untuk pasukan kebangsaan Indonesia dan program PSSI yang rencananya akan mula dilaksanakan pada Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Erick menghargai usaha Prabowo untuk membantu menaikkan taraf bola sepak Indonesia ke tahap yang lebih tinggi.
Atas sebab itu, beliau melihat penyaluran dana yang cukup besar itu sebagai komitmennya terhadap kemajuan sukan berkenaan.
“Komitmen Bapak Presiden terhadap kemajuan sepak bola Indonesia benar-benar luar biasa,” ujarnya.
Ramai penyokong Indonesia menyambut baik langkah yang digerakkan Prabowo. Salah seorang daripadanya ialah SiswantoSogol.
Dia percaya penyaluran dana tersebut bakal membantu bola sepak Indonesia lebih maju selepas ini. “Alhamdulillah semoga skuad kebangsaan makin maju dan bola sepak di Indonesia berkembang pesat untuk naik tahap. Aamiin,” katanya di X.
Turut senada dengannya ialah seorang lagi penyokong bernama Kahfi Siregar. “Mantap. Berjayalah bola sepak Indonesia,” katanya.
Indonesia kini sibuk mengharungi kempen ASEAN Championship 2024. Pasukan itu mendahului Kumpulan B dengan empat mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Selepas diikat 3-3 oleh Laos, anak buah Shin Tae-yong berharap dapat bangkit apabila menentang Vietnam pada 15 Disember.