Selepas bergelar juara Kejuaraan Futsal ASEAN 2024, Indonesia terus mendapat satu lagi berita baik.
Ini selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Futsal Asia 2026. Keputusan ini disahkan Jawatankuasa Eksekutif AFC selepas menerima cadangan daripada Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai AFC.
Ini kali kedua Indonesia dipilih sebagai tuan rumah Piala Futsal Asia. Sebelum ini, negara itu dipilih sebagai tuan rumah untuk edisi 2002 di Jakarta.
Kejohanan tersebut diadakan di Istora Gelora Bung Karno dengan Iran muncul juara buat kali keempat ketika itu. Berdasarkan rekod semasa, pasukan Timur Tengah itu sudah bergelar juara Piala Futsal Asia sebanyak 13 kali.
Sementara Jepun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara. Manakala Thailand dan Korea Selatan pula menamatkan kempen edisi 2002 di tempat ketiga dan keempat.
Indonesia yang kini dibimbing Hector Souto berharap sokongan padu penyokong dapat membantu mereka mengulangi pencapaian terbaik di kejohanan tersebut pada 2026.
Sebelum ini, pencapaian terbaik Indonesia dalam Piala Futsal Asia ialah pencapaian suku akhir dalam edisi 2022.