Seorang pemilik kelab bola sepak ditahan pihak berkuasa selepas mengingkari perintah mahkamah untuk melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM1.4 juta.
Bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United bergelar ‘Datuk’ itu ditahan di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana gagal melunaskan tunggakan gaji melibatkan 46 pemain dan 12 pegawai kelab itu pada tahun 2018.
Peguam yang mewakili pemain dan pegawai dua kelab berkenaan, Mohamad Suhail Rahimi Abdul Razak memaklumkan individu tersebut sudah diberi tempoh oleh mahkamah untuk melunaskan tunggakan gaji yang dinyatakan tetapi gagal.
Mengikut rekod, pemilik kelab tersebut hanya membayar RM600,000.00 setakat pertengahan tahun 2023 dengan baki tunggakan sebanyak RM1.4 juta masih berbaki sehingga kini.
Justeru, penahanan pemilik kelab dibuat mengikut perintah komital yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari lalu.
“Penahanan dilakukan mengikut perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari yang lalu dan mahkamah yang sama turut memutuskan bahawa individu tersebut perlu dipenjarakan selama seminggu atas kesalahan komital iaitu penghinaan terhadap perintah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United itu akan dibawa ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama tujuh hari bermula 16 Oktober lalu.
Suhail turut memaklumkan sekiranya pemilik kelab berkenaan masih gagal melunaskan tunggakan berkenaan, satu tindakan jenayah bakal dimulakan untuk mendapatkan baki tunggakan yang dituntut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail menyifatkan perintah ini merupakan kali pertama untuk kes membabitkan tunggakan gaji kelab bola sepak di Malaysia.
Beliau melihat perkara ini sebagai satu amaran kepada semua pemilik kelab atau persatuan agar cakna dengan hak dan kebajikan pemain terutama membabitkan isu tunggakan gaji.