Baru-baru ini, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pindaan manual Liga Malaysia (Liga M) 2024/25 berkenaan pendaftaran pemain import.
Menerusi pindaan ini, MFL mengumumkan pasukan-pasukan yang terpilih boleh mendaftarkan 12 tonggak import. Di sebalik pindaan ini, ada beberapa fakta yang perlu diketahui tentang penambahan kuota import yang dibuat MFL.
1. Tidak Menjejaskan Peluang Pemain Tempatan
Kuota tambahan ini tidak menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi. Ini kerana dua pemain import tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL.
Dan bagi proses naik dan turun pemain Piala MFL 2024-2025, peraturan pendaftaran 5 pemain (tempatan melebihi 23 tahun dan maksimum tiga pemain asing) dalam senarai pasukan masih kekal.
Keputusan MFL mengekalkan kuota ini bertujuan memastikan peluang pemain tempatan bawah 23 tahun beraksi dalam saingan Piala MFL.
2. Kuota 2 Pemain Asing Tambahan Ini Hanya Dibenarkan Untuk Piala MFL
Dua pemain import tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja. Justeru, dalam konteks pertandingan Liga Super, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2024-2025, peraturan pendaftaran pemain asing di dalam senarai pasukan masih kekal iaitu tujuh orang (6+1).
Tujuh orang di sini merujuk kepada enam pemain import yang boleh diturunkan dalam sesebuah perlawanan. Sementara seorang lagi tonggak import disenaraikan dalam senarai pemain simpanan.
3. Kuota Ini Hanya Terpakai Kepada Empat Kelab
Penambahan kuota dua pemain import hanya terpakai kepada pasukan-pasukan yang beraksi di pentas Asia dan ASEAN. Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC membawa cabaran negara di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Manakala Terengganu FC dan KL City FC pula membawa nama Malaysia dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC).
4. Selain Empat Kelab, Pendaftaran Pemain Asing Dalam Senarai Pasukan Liga Super Masih Kekal
Kuota dua pemain import tambahan ini tidak terpakai kepada kelab-kelab lain. Kelab-kelab yang tidak terlibat dalam kejohanan peringkat ASEAN dan Asia hanya dibenarkan mendaftar sembilan pemain import sahaja.
5. Peluang Kelab Liga Malaysia Bersaing Hebat Di Asia
Penambahan kuota dua tonggak import oleh MFL turut dipengaruhi oleh keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). AFC mengumumkan tiada lagi had pemain import yang diturunkan dalam kejohanan anjuran badan induk itu.
Penambahan dua tonggak import ini dijangka bukan saja membantu JDT, Selangor, Terengganu dan KL City bersaing dengan pasukan-pasukan Asia lain. Malah, ini membantu empat pasukan ini mara lebih jauh dalam pertandingan yang disertai mereka.
Pendaftaran pemain import untuk saingan Shopee Cup juga menyaksikan tiada had ditetapkan. Cuma untuk hari perlawanan, pasukan hanya dibenarkan mendaftarkan enam pemain import.
6. Peluang Meningkatkan Slot Kelayakan Pasukan Ke Asia
Penambahan kuota dua pemain import dijangka membantu Harimau Selatan dan Selangor melakar pencapaian lebih baik di Asia. Ini kerana kecemerlangan kedua-dua pasukan dalam saingan ACLE dan ACL2 dapat menambah baik kedudukan Malaysia dari segi ranking pertandingan kelab AFC.
Seandainya kedua-dua pasukan gagal mempamerkan prestasi cemerlang di Asia, ini secara tidak langsung mempengaruhi bilangan slot pasukan yang layak ke dua kejohanan berkenaan.
Prestasi hebat kelab-kelab yang bertanding dalam pertandingan anjuran AFC (ACLE, ACL2) menjamin kuota dan kedudukan pasukan Liga M bagi musim hadapan.
Berdasarkan kedudukan semasa ranking pertandingan kelab AFC oleh Footy Ranking, Malaysia berada di tangga keenam di belakang Australia.