“Ini Hadiah Sebuah Pengorbanan”, Inspektor Kavichelvan Titis Air Mata Gembira
Harimau Malaya
Advertisements

“Jangan berhenti di sini, perjalanan kita baru bermula, destinasi kita adalah Piala Dunia,” demikian ungkap V.Kavichelvan susulan kejayaan skuad negara layak ke Piala Asia B-17.

Kavichelvan ternyata tidak dapat menahan daripada menitiskan air mata kegembiraan dengan kejayaan skuad muda negara ini yang menurutnya hadiah kepada sebuah pengorbanan.

Kavichelvan yang juga inspektor polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur merupakan salah seorang penolong jurulatih kepada Osmera Omaro, bersama-sama Amiridzwan Taj dan juga Nasril Nourdin.

Advertisements

Skuad muda Malaysia mengesahkan tempat di Piala Asia B-17 setelah muncul salah satu daripada 10 juara kumpulan di pusingan kelayakan.

“Kami (barisan kejurulatihan) tidak pernah sekalipun meragui kualiti yang ada pada pemain-pemain ini, mental mereka kuat, keinginan mereka tinggi dan mereka dahagakan kejayaan.

“Kita pergi ke Bogor dengan satu sasaran walaupun tahu ia sangat sukar, dan mencapainya kerana keinginan yang mereka tunjukkan itu, serta kekuatan semangat berpasukan. Gembira dapat membantu ketua jurulatih (Osmera) mencapai kejayaan ini.

Advertisements

“Ia hadiah buat seluruh rakyat Malaysia yang berikan sokongan, hadiah kepada diri sendiri yang terpaksa berjauhan dengan keluarga, anak isteri. Saya berada di kem latihan Gambang selama 6 bulan, kadang-kadang di kem FAM.

“Sesekali pulang bila ada cuti, isteri banyak berkorban, jaga anak kerana saya tinggal jauh. Jadi ini satu pengorbanan yang sangat berbaloi, Malaysia mara ke Piala Asia B-17 dan pertandingan ini juga merupakan pusingan kelayakan untuk Piala Dunia B-17 juga pada tahun depan.

“Kita sudah capai satu misi, tetapi kita jangan berpuas hati kerana perjalanan sebenar baru bermula. Saya mahu anak-anak muda di dalam skuad berani meletakkan sasaran lebih tinggi, pandang ke depan dan percaya pada diri sendiri bahawa kita boleh melakukannya,” ujar Kavichelvan.

Advertisements

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan memberikan penghargaan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta pengurus pasukan, Christopher Raj atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan.

“Jika tidak kerana dua individu ini, saya mungkin tidak berada di tahap ini jadi saya gembira dapat membalas kepercayaan mereka dan memberi sumbangan kepada skuad muda negara.

“Tidak lupa terima kasih buat Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani yang meluluskan cuti tanpa rekod buat saya demi tugasan buat negara serta semua yang selalu membantu dan membimbing saya,” tambah Kavichelvan yang mempunyai Master dalam jurusan Sains Sukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Advertisements

Malaysia menjuarai aksi Kumpulan B yang berlangsung di Indonesia dengan mengutip 10 mata dalam empat perlawanan susulan kemenangan 4-0 ke atas Palestin, seri 1-1 menentang Guam, menang 2-1 ke atas Emiriah Arab Bersatu dan paling mencuri tumpuan membelasah tuan rumah 5-1 dalam aksi terakhir.

Sebagai rekod, V.Kavichelvan merupakan bekas pemain Harimau Muda batch pertama, seangkatan dengan Gary Steven Robbat, K.Gurusamy, Mahalli Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat dan Muslim Ahmad.

Beliau meninggalkan skuad Harimau Muda selepas membantu pasukan itu menduduki tangga keempat Liga Singapura pada 2012, dan pernah bermain dengan beberapa pasukan Liga Super seperti Selangor (2013), Negeri Sembilan (2014), Melaka United (2016) dan PDRM (2017).

Kavichelvan mendapat tawaran untuk menjalani latihan polis selama sembilan bulan ketika masih bersama Melaka United dan sejurus tamat latihan pada Februari 2017, meninggalkan pasukan itu untuk menyertai pasukan polis dan bermain untuk PDRM FA.

Pada 2019 dia telah diberi peranan membimbing skuad wanita PDRM FA dan bermula tahun 2020 Kavichelvan dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Piala Presiden the cops dan adalah menjadi cita-citanya untuk melahirkan pemain-pemain berilmu serta mempunyai masa depan lebih cerah.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram