Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akhirnya mendedahkan sebab sebenar Malaysia belum bergelar tuan rumah Sukan Asia.
Sebelum ini, ramai yang hairan mengapa Malaysia tidak menjadi tuan rumah temasya berprestij itu. Sedangkan negara memiliki pengalaman sebagai penganjur Sukan SEA sebanyak enam kali dan Sukan Komanwel edisi 1998.
Bagaimanapun, Khairy mendedahkan soal kewangan sebagai sebab Malaysia tidak lagi mahu membida hak tuan rumah Sukan Asia.
Dengan kos kewangan yang semakin tinggi dari tahun ke tahun, perkara terakhir yang dimahukan ialah temasya tersebut menjadi liabiliti kepada kedudukan kewangan kerajaan.
Untuk makluman, Malaysia pernah cuba membida hak tuan rumah Sukan Asia 2006 tetapi tewas kepada Qatar.
“Untuk makluman pada 2006, kita telah membida untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Asia. Kita kalah kepada Doha (Qatar).
“Doha telah berjaya pada tahun tersebut (di mana) Doha punya bidaan, saya taklah rasa hebat atau terlalu hebat daripada Malaysia. Tetapi atas sebab faktor-faktor tertentu dan boleh Google, Qatar telah menang.
“Dan sewaktu saya pergi ke KBS, saya tanya, ‘Kita dah jadi tuan rumah kepada Sukan SEA. Itu biasalah ya bagi negara-negara Asia Tenggara. Kita dah jadi tuan rumah SUKOM (Sukan Komanwel) pada 1998. Jadi, kenapa kita tidak jadi tuan rumah kepada Sukan Asia?
“‘Sebab itu boleh jadi batu loncatan untuk kita jadi penganjur Sukan Olimpik satu hari nanti.’ Dan semasa saya pergi ke KBS pada 2013, dia punya kos untuk jadi tuan rumah sangat-sangat prohibitive (menyusahkan).
“Untuk makluman Shahril (Hamdan) dan para pendengar, kos penganjuran, kos pelesenan, kos nak kena bayar kepada Majlis Olimpik Asia dan sebagainya telah menjadi terlalu besar.
“Dan bila kita buat cost-benefit analysis (analisis kos-faedah), feasibility study (kajian kebolehlaksanaan), pulangan yang kita dapat daripada pelancong, peluang-peluang komersial dan sebagainya, tidak berbaloilah kalau kita menjadi tuan rumah. Itu tidak menjadi keutamaan fiskal (kerajaan),” katanya dalam episod terbaru podcast beliau, Keluar Sekejap.
Begitupun, Khairy melihat ini bukan bermakna peluang Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Asia sudah tertutup.
Sekiranya keadaan kewangan negara mengizinkan, tidak mustahil Malaysia akan mencuba lagi bidaan hak tuan rumah pada masa akan datang.
“Mungkin satu hari nanti, mungkin bila kita ada keadaan fiskal ataupun kewangan negara yang lebih mantap, mungkin kita boleh buat bidaan temasya ini,” ujarnya.
Sukan Asia 2023 menyaksikan Malaysia berjaya melepasi sasaran 27 pingat termasuk enam pingat emas.