Ini Senarai Akhir Barisan Unik Malaysia Ke Kelayakan Piala Asia B-23

Malaysia Vietnam AFF Ini Senarai Akhir Barisan Unik Malaysia Ke Kelayakan Piala Asia B-23
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
10:14pm 03/09/2023

Teka teki mengenai barisan akhir yang bakal dibawa ke Kelayakan Piala Asia B-23 bagi mewakili Malaysia akhirnya terjawab.

Ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E. Elavarasan telah membuat keputusan muktamad bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Berdasarkan kemas kini yang dimuat naik oleh FAM, terdapat kelibat barisan pemain yang diharapkan mampu mencipta impak segera di Thailand.

Nama-nama seperti Luqman Hakim, Nooa Laine, Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal dan Azam Azmi kekal dalam percaturan akhir Elavarasan untuk berdepan cabaran getir pada pusingan kelayakan.

Barisan pemain yang menyerlah di Piala AFF B-23 seperti Fergus Tierney, Alif Ikmalrizal, Ubaidullah dan Azim Al-Amin terus dikekalkan pada pemilihan kali ini.

Percaturan akhir ini sudah pasti menjadi perhatian selepas pasukan negara tidak berpeluang melepasi sasaran dalam dua kejohanan sebelum ini.

Kelayakan Piala Asia ini bakal bermula 6 hingga 12 September 2023 di Chonburi, Thailand.

Malaysia yang telah diundi dalam Kumpulan H akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan perlawanan pertama menentang Bangladesh pada Rabu, 6 September 2023 disusuli aksi berdepan Filipina pada Sabtu, 9 September 2023.

Aksi terakhir berdepan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023 (9.30 malam waktu Malaysia), dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.