Perkembangan terbaru pemain warisan Malaysia semakin cerah bagi menghadapi jaguh Asia Tenggara, Vietnam.
Pasukan kendalian Peter Cklamovski berdepan ujian terhebat bagi aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang The Golden Star.
Harimau Malaya diserikan dengan perkhabaran oleh pengendali kelahiran Australia itu berkenaan perkembangan pemain warisan baharu buat pasukan kebangsaan.
“Ada potensi besar perkara ini (pemain warisan) untuk kem berdepan Vietnam ini akan berlaku. Proses dokumentasi sedang dijalankan dan beberapa pemain akan hadir.
“Kita tidak berada pada situasi yang sesuai untuk mengumumkannya ketika ini tetapi saya boleh jamin bahawa pemain dengan dokumentasi yang betul akan hadir,” katanya ketika pengumuman senarai pemain skuad kebangsaan di Wisma FAM.
Beliau menjelaskan bahawa beberapa pemain warisan kini dalam proses dokumentasi akhir dan berharap agar pemain ini bersedia untuk diturunkan berdepan juara ASEAN Championship itu di Bukit Jalil.
“Masa amat penting, harapnya kita dapat berkongsikan perkara ini pada awal Jun dan menambah kualiti kepada pasukan.
“Pemain perlu mengekalkan persaingan dalam kem dan juga di luar. Ia amat susah buat pemain untuk mendapat tempat bersama pasukan kebangsaan.
“Apa yang paling penting ialah pemain ini warganegara Malaysia. Mereka akan tunjuk bahawa kehadiran mereka di sini adalah untuk berjuang dan kerahkan keringat untuk negara ini. Mereka ialah orang Malaysia yang berada di luar negara,” tambahnya.
Pertemuan antara Malaysia menentang Vietnam dijadualkan berlangsung pada 10 Jun 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 9.00 malam.