Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menetapkan syarat kelayakan bagi kelab di Malaysia untuk mewakili negara ke pentas bola sepak Asia.
MFL telah meletakkan garis panduan yang jelas mengenai slot pertandingan peringkat kelab anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024/2025.
Menerusi satu kenyataan oleh MFL, terdapat perubahan syarat yang dibincangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) berdasarkan perubahan baharu yang dilakukan oleh AFC mengenai format pertandingan kelab AFC bagi musim 2024/2025.
Bagi musim 2024/2025, AFC telah memperuntukkan dua slot pertandingan kelab AFC bagi Tier 1 dan Tier 2.
“Berdasarkan keputusan BOD itu, juara Liga Super 2023 akan layak beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2.
Naib juara Liga Super 2023 akan melangkah ke Piala AFC sekiranya juara Piala FA dan Liga Super adalah pasukan yang sama.
“Sekiranya juara Liga Super dan juara Piala FA bagi musim 2023 adalah kelab yang sama, maka juara Liga Super akan beraksi dalam pertandingan kelab AFC Tier 1 dan naib juara Liga Super pula akan layak bertanding dalam saingan kelab AFC Tier 2.”
“Jika kelab-kelab yang layak ke pertandingan tersebut gagal menepati syarat-syarat Perlesenan Kelab AFC, maka penggantian kelab yang akan layak ke pertandingan tersebut di atas adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL,” jelas MFL.
Pada musim ini, JDT telah berjaya menjulang kejuaraan Piala FA dan berada pada landasan terbaik untuk merangkul Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.
Hal ini memungkinkan peluang naib juara Liga Super 2023 bakal mengiringi perjuangan JDT ke Asia.