Dunia bola sepak telah dikejutkan dengan satu insiden yang membawa kepada layangan kad merah di Liga Profesional Uzbekistan. Insiden tersebut mungkin bakal menjadi insiden kad merah terpelik di dunia buat masa ini.
Dalam aksi di antara FK Andijon dan Bunyodkor, pemain pertahanan Bunyodkor, Usmonali Ismonaliev dilayangkan kad merah pada minit ke-32 perlawanan selepas dikesan menyepak dada pemain Andijon, Mukhammadkarim Toirov.
Lebih menarik, insiden tersebut berlaku ketika pengadil perlawanan sedang memberikan sedikit penerangan kepada pasukan FK Andijon selepas terhasilnya gol penyamaan buat Bunyodkor.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, berkemungkinan besar Usmonali dilihat seperti mahu bergurau senda dengan Toirov. Layangan kad merah yang diberikan itu nyata mengejutkan Usmonali dan seluruh pasukan Bunyodkor.
Selepas disepak oleh Usmonali, Toirov pula seolah-oleh dipaksa oleh rakan sepasukan untuk terbaring di atas padang.
Insiden kad merah itu telah tular di media sosial dengan laman hiburan bola sepak terkemuka dunia, Troll Football berkongsi video berdurasi 20 saat itu.
FK Andijon memenangi perlawanan itu dengan kemenangan besar 5-1 menewaskan Bunyodkor sekali gus membuatkan Bunyodkor terus terperosok di tangga tercorot Liga Uzbekistan.