Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengakui kecewa bila mengetahui insiden pergaduhan penyokong tercetus sebelum aksi final Unifi Piala Malaysia.
Pergaduhan sekumpulan penyokong Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) tercetus beberapa jam sebelum aksi final pada 26 April lalu.
Selepas kedua-dua kumpulan bertembung, provokasi mula dibuat penyokong kedua-dua pasukan. Ini mengakibatkan kedua-dua kumpulan bertumbuk, membaling suar dan kon.
Situasi tersebut berlanjutan selama tiga minit sebelum berjaya dikawal oleh pihak berkuasa. Safee melihat insiden ini tidak sepatutnya berlaku kerana aksi tersebut dihadiri ramai orang termasuk keluarga dan kanak-kanak.
Bekas penyerang KL City FC itu turut menyifatkan perlakuan sesetengah pelaku ini sebagai dangkal tanpa menyedari kesan negatif terhadap penyokong-penyokong lain.
“Penyokong seperti ini yang menunjukkan kemunduran (terutama dari segi pemikiran). Sebab orang datang ke stadium sebab nak merasai suasana perlawanan final,” katanya semasa menjadi panel Nindia.
“Tetapi apabila ada sesetengah manusia macam ini, mereka menunjukkan tahap kemunduran yang merisaukan.
“Benda ini patut diawasi. Benda ini perlu dibanteras sebelum ia merebak.”
Insiden tersebut turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Beliau mengecam insiden pergaduhan itu dan menganggap ia mengundang kerisauan kepada penyokong lain.