Penampilan bersama Syamer Kutty dan adiknya, Haziq Kutty ketika menyarung jersi skuad Penang FC berakhir dengan tragis.
Kedua-dua pemain ini diturunkan dalam perlawanan di antara Penang dan Negeri Sembilan FC baru-baru ini. Insiden tragis berlaku di penghujung perlawanan apabila Haziq Kutty diperintahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah.
Kad merah dilayangkan selepas Haziq dikesan pengadil melengah-lengahkan permainan. Insiden itu sempat dirakam oleh lensa kamera penyokong dan ianya tular di media sosial.
Permainan telah dihentikan kerana terdapat kekasaran terhadap pemain Negeri Sembilan. Syamer mendapatkan bola tersebut dan memberikannya kepada Haziq. Namun Haziq melemparkan bola ke belakang sekali gus dilayangkan kad merah.
Video tersebut telah dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook, Anton Rodriguez. Sehingga kini, video itu sudah merekodkan lebih 148 ribu tontonan dan dibanjiri komen peminat bola sepak tempatan.
Rata-rata peminat menganggap tindakan kedua-dua pemain itu tiada semangat kesukanan selain memuji tindakan pengadil yang bertindak tegas di atas tindakan tersebut.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Penang selepas menewaskan tuan rumah, Negeri Sembilan dengan keputusan 2-0.