Pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah akhirnya mengakui kehebatan pengendali skuad senior kebangsaan, Kim Pan-gon.
Ini selepas pemain berusia 24 tahun itu memohon maaf atas keterlanjurannya mengkritik keputusan yang dibuat jurulatih Korea Selatan itu dalam perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan pada 25 Januari lalu.
Apabila Pan-gon memasukkan Romel Morales menggantikan Brendan Gan pada minit ke-101 masa tambahan babak kedua, Intan atau nama sebenarnya Intan Sarah Anisah Zulgafli tidak berpuas hati dengan percaturan yang dibuat jurulatih itu.
Ini mendorongnya menulis satu ciapan di X yang berbunyi, ““Satu lagi pertukaran bodoh dari Kim Pan-gon. Masukkanlah Pawi (Safawi Rasid)!!!!”
Ciapan tersebut mengundang rasa tidak puas hati ramai penyokong Harimau Malaya. Intan kemudiannya memadamkan ciapan tersebut bagi meredakan keadaan.
Percaturan Pan-gon memasukkan bekas penyerang KL City FC itu kemudian membuahkan hasil apabila Morales meledakkan gol penyamaan pada minit ke-105. Keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan.
Beberapa jam selepas tamat perlawanan, Intan memohon maaf atas keterlanjurannya yang mengeluarkan kenyataan kurang sensitif semasa perlawanan.
Malah, beliau menyatakan amat menghormati barisan pemain dan staf kejurulatihan skuad kebangsaan termasuk Pan-gon.
“Kehangatan emosi pada ketika itu yang mengawal saya, itu yang membawa kepada ciapan itu semasa perlawanan.
“Maaf atas apa yang saya katakan tapi saya akui salah saya dan saya hormat semua orang terutama para pemain dan jurulatih KPG (Kim Pan-gon). Semoga bertuah dan selamat berjaya untuk perlawanan seterusnya!” katanya dalam satu ciapan di X.
Selepas menamatkan kempen di peringkat kumpulan Piala Asia 2023, skuad negara mengalihkan fokus kepada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.
Harimau Malaya bakal berdepan cabaran pasukan dari Asia Barat, Oman untuk aksi ketiga Kumpulan D pada 21 Mac 2024.