Iraq berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia FIFA selepas berjaya mengatasi Palestin dalam aksi sengit yang berlangsung pada awal pagi Jumaat.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat bagi mendapatkan mata maksimum dalam perlawanan dengan Iraq mempertaruhkan penyerang berbisa iaitu Aymen Hussein manakala Palestin pula menyenaraikan Oday Dabagh sebagai peledak utama.
Perlawanan dimulakan dengan Iraq mempamerkan penguasaan dengan hantaran-hantaran tepat dan memaksa Palestin bertahan di awal permainan.
Benteng Palestin mempamerkan aksi kebal untuk menidakkan beberapa peluang keemasan yang diperoleh pemain Iraq.
Hasil serangan bertali arus, Iraq akhirnya berada di hadapan melalui penyudah Aymen Hussein pada minit ke-31 permainan untuk meletakkan Iraq di hadapan 1-0.
Iraq meneruskan penguasaan dalam permainan ini dan menamatkan separuh masa pertama tanpa membenarkan sebarang percubaan buat Palestin.
Bersambung babak kedua, Palestin mula memperkemaskan rentak dalam usaha mereka mendapatkan jaringan penyamaan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Iraq lebih mendominasi permainan berbanding Palestin.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memberikan tiga mata berharga buat Iraq di hadapan ribuan penyokong sendiri. Manakala Palestin masih tercari-cari kemenangan pertama mereka selepas 3 perlawanan.
Bagi aksi yang seterusnya, Iraq bakal bertemu Korea Selatan pada 15 Oktober manakala Palestin dijadualkan bertemu Kuwait pada 16 Oktober di laman sendiri.