Advertisement
Isteri Mahu Liridon Krasniqi Kembali Beraksi
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Bekas pemain tengah Terengganu FC, Liridon Krasniqi mendedahkan isterinya mahu beliau kembali beraksi di atas padang.

Sejak meninggalkan Peteh pada akhir musim 2023, pemain tengah berusia 33 tahun itu kerap dikaitkan dengan perpindahan pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Antara pasukan yang dikaitkan dengan beliau ialah Selangor FC dan pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Walau bagaimanapun, Liridon masih berstatus ejen bebas sehingga hari ini.

Statusnya itu mendorong beliau menyertai saingan Baller League di Jerman, sebuah liga bola sepak baru yang mengetengahkan elemen hiburan dan kemahiran bola sepak.

Liridon yang mesra disapa Mat Don oleh peminat bola sepak negara mewakili pasukan Gonrgy All Stars.

Kini, beliau mendedahkan isterinya mahu melihatnya kembali di atas padang. “Isteri saya beritahu saya, ‘Saya mahu lihat anda kembali bermain secepat mungkin’,” katanya di Instagram.

Sebaik hantaran itu dimuat naik, ramai penyokong Kedah berharap pemain naturalisasi Malaysia itu dapat kembali untuk membantu pasukan utara tanah air itu.

Selain Terengganu dan Kedah, Liridon pernah beraksi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Khon Kaen United, Newcastle Jets, Fethiyespor, Odisha FC dan Mlada Boleslav.