Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, menekankan bahawa isu serius dalam bola sepak Malaysia perlu ditangani secara telus dan berpandukan fakta. Baginda menegaskan kepentingan bukti dan fakta sebelum sebarang tindakan diambil bagi memastikan integriti ekosistem bola sepak negara terpelihara.
Komen Tunku Ismail ini dibuat sebagai respons kepada kenyataan Youth Football Malaysia yang menegaskan bahawa isu-isu asas seperti padang, pusat latihan dan pembangunan akademi masih dalam proses penambahbaikan, dan kebanyakan pasukan sedang berusaha semampunya.
Menurut laman tersebut, perkara yang lebih sukar ditangani adalah isu-isu penipuan yang wujud dalam sistem bola sepak, termasuk penipuan dokumen, penipuan pengadilan, penipuan pengurusan liga, dan penipuan kontrak.
“Yang susah nak cari ubat adalah isu-isu penipuan dokumen, pengadilan, pengurusan liga dan kontrak,” ujar Youth Football Malaysia dalam satu hantaran di laman X.
Menjawab perkara tersebut, Tunku Ismail menegaskan bahawa segala bukti dan fakta yang ada perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada agensi kerajaan yang berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu penipuan ini.
“Inilah pentingnya kita menggunakan segala bukti dan fakta yang ada dan serahkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang,” tulis Baginda di laman X.
Baginda menambah, tindakan yang berpandukan bukti ini bukan sekadar teori, tetapi harus dilakukan secara beramai-ramai demi kepentingan bola sepak tanah air.
“Bukan setakat teori. Kumpul semua bukti yang ada beramai-ramai demi bola sepak tanah air,” jelas Tunku Ismail.
Tunku Ismail juga menyeru semua pihak bekerjasama dalam mengumpul bukti dan menyerahkan kepada pihak berkuasa supaya isu penipuan ini dapat ditangani bagi memastikan masa depan bola sepak Malaysia lebih bersih dan terurus.