Pemain Kuching City FC, Zahrul Nizwan telah memohon maaf kepada pemain Perak FC, Syukri Baharun, penyokong pasukan Perak dan semua penyokong bola sepak Malaysia atas satu insiden terjahan keras yang dilakukannya pada aksi Liga Super tempoh hari.
Terjahan yang dilakukan Zahrul pada aksi Kuching City dan Perak itu mengakibatkan Syukri terpaksa diusung keluar walaupun pemain Perak itu baru sahaja dimasukkan pada penghujung perlawanan.
Dalam satu instagram story milik Zahrul, pemain berusia 26 tahun itu mengungkapkan permohonan maaf dan akan jadikan insiden tersebut sebagai satu pengajaran buat diri beliau.
“Assalamualaikum saya ingin memohon maaf atas insiden yang tak disengajakan yang berlaku antara saya dengan pemain Perak, Syukri Baharun dan saya juga ingin memohon maaf kepada semua penyokong Perak dan penyokong bola sepak tanah air kita.
“Saya dah berhubung dengan dengan pemain tersebut dan memohon maaf kepada beliau. Saya akan jadikan insiden tersebut sebagai pengajaran buat saya,” coret Zahrul Nizwan di laman instagram beliau.

Syukri yang hadir ke Perak pada awal musim 2023 belum pernah diturunkan untuk pasukan Perak bagi saingan musim ini. Ini kerana beliau mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) pada lutut kiri yang memaksa beliau berehat panjang.
Perlawanan bertemu Kuching City itu merupakan aksi pertama beliau untuk pasukan Perak. Syukri dijangka akan tersisih dan berehat panjang akibat daripada terjahan keras tersebut.