J-League: Dion Cools Tebus Kesilapan Lalu
MakanBola
Cerezo Osaka

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools bangkit menebus kesilapan lalu dengan membantu Cerezo Osaka menewaskan Vissel Kobe menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebelum ini, bekas pemain pertahanan Buriram United itu bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri ketika menentang Sanfrecce Hiroshima.

Gol itu menyebabkan Cerezo tumbang 2-1 di tangan Sanfrecce pada 25 April lalu. Kini, Cools bangkit dan menunjukkan permainan lebih kemas ketika menentang Vissel Kobe.

Selain membantu Cerezo mengikat Kobe tanpa jaringan selepas 90 minit, beliau juga antara empat penjaring penalti kelab itu untuk meraih keputusan 4-2.

Selain Cools, bekas pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa, Shunta Tanaka dan Motohiko Nakajima turut menyempurnakan penalti Cerezo.

Kobe pula hanya menyempurnakan penalti menerusi Yuya Osako dan Mitsuki Hidaka. Jean Patric dan Katsuya Nagato bernasib malang apabila gagal menyempurnakan penalti.

Cools turut mendapat markah yang baik oleh Sofascore. Beliau mendapat 7.8 mata, markah sama dengan Kagawa.

Keputusan ini menyaksikan Cerezo terus memburu kelompok lima pasukan teratas J-League 1 Kumpulan Barat dengan 19 mata.

Selepas ini, Cools dan Cerezo akan menentang Avispa Fukuoka pada 3 Mei ini.