Advertisement
Vissel Kobe Muncul Juara K League 1
Asia
MakanBola
Vissel Kobe

Pendahulu J1 League, Vissel Kobe menghela nafas lega kerana menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Kejayaan itu tercapai selepas mereka mengatasi cabaran Nagoya Grampus dalam aksi ke-33 J1 League hari ini.

Dengan Yokohama F. Marinos diikat tanpa jaringan oleh Albirex Niigata semalam, Kobe memerlukan kemenangan hari ini ke atas Nagoya bagi meraih gelaran juara.

Berbekalkan sokongan padu penyokong di Stadium Noevir Kobe, pasukan itu mendahului pada minit ke-12 menerusi pemain tengah Haruya Ide.

Penyokong Ushi makin gamat apabila bekas pemain Newcastle United, Yoshinori Muto menggandakan kelebihan mereka dua minit selepas itu.

Tatkala Kobe menyangka kedudukan mereka sudah selesa, Nagoya kembali merapatkan jurang pada minit ke-30.

Penyerang Denmark, Kasper Junker berjaya mengatasi cabaran pemain Kobe sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah, Daiya Maekawa. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Nagoya terus memberi tekanan kepada Kobe bagi mendapatkan gol penyamaan.

Ini memaksa barisan pertahanan Ushi diketuai bek tengah Brazil, Thuler bekerja keras menangkis asakan pasukan pelawat.

Malang buat Nagoya apabila percubaan mereka pada minit ke-75 mengenai palang sebelum berjaya dikeluarkan pertahanan tuan rumah.

Dan itu sudah cukup buat Kobe meraih kemenangan yang dicari-cari sebaik wisel penamat ditiup pengadil.

Sofascore memilih penjaring terbanyak Ushi, Yuya Osako sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2 mata.