Jurulatih baru Selangor FC, Nidzam Jamil melihat tidak kira siapa dalam pasukan termasuk dirinya, mereka perlu bijak menguruskan tekanan.
Perkara ini dinyatakan sendiri beliau dalam sidang media susulan perlantikannya sebagai pengganti Tan Cheng Hoe disahkan petang semalam.
Nidzam yang pernah beraksi sebagai pemain pertahanan Merah Kuning sekitar 2000 hingga 2004 mendedahkan dirinya pernah memainkan peranan sebagai pengutip bola pasukan.
Walaupun peranan tersebut digalasnya sekitar 20 hingga 30 tahun lalu, beliau masih ingat tekanan yang dihadapi dirinya terutama daripada penyokong.
Bagi Nidzam, beliau tidak melihat tekanan itu sebagai satu perkara yang negatif. Ini kerana tekanan dan jangkaan terutama daripada penyokong mampu mendorong seluruh pasukan untuk menjadi lebih bagus untuk musim 2024-2025.
“Di Selangor, saya rasa (semua peranan ada tekanan). Dulu saya pernah jadi pengutip bola, saya ingat 20, 30 tahun lalu. Saya rasa jadi pengutip bola Selangor pun ada jangkaan yang besar, pun ada tekanan juga.
“Setiap kali kalau kita terlepas bola, orang akan ejek kita. Jadi dekat Selangor ini memang ada tekanan, ada jangkaan yang besar dan itu sebahagian daripada budaya kita untuk jadi lebih baik.
“Jadi, saya tak rasa tekanan itu satu benda yang buruk. Tapi bagi kita yang berada di Selangor, itu satu perkara yang akan dorong kita untuk pergi dengan lebih baik,” katanya.
Nidzam sebelum ini menggalas peranan sebagai penolong jurulatih Michael Feichtenbeiner (2022) dan Cheng Hoe (baki musim 2022 hingga 2023).
Beliau kemudiannya diberi peranan sebagai pengendali tetap pasukan menjelang musim baru liga yang akan bermula pada Mei ini.