Jurulatih penyerang Manchester United, Benni McCarthy mendedahkan sebab sebenar Jadon Sancho enggan memohon maaf kepada pengurus, Erik ten Hag.
Daily Mail melaporkan McCarthy percaya Sancho enggan berbuat demikian kerana jika itu berlaku, maka pemain sayap berusia 24 tahun itu mengakui dirinya malas dan tidak bersikap profesional.
Hubungan pemain sayap Borussia Dortmund itu dengan Ten Hag mula renggang apabila namanya disisihkan dalam pasukan semasa menentang Arsenal pada September 2023.
Susulan itu, Sancho menuduh pengurus Belanda itu sebagai penipu kerana menuduhnya tidak bekerja keras semasa sesi latihan. Meskipun Ten Hag memintanya memohon maaf, Sancho enggan berbuat demikian.
Akibatnya, pemain sayap England itu disisihkan pengurus berusia 54 tahun itu selama empat bulan termasuk diarah berlatih dan makan bersendirian. Sancho kemudiannya menyertai pasukan lamanya, Dortmund secara pinjaman pada tetingkap perpindahan Januari 2024.
McCarthy pada awalnya berusaha mendamaikan kedua-dua pihak yang bertelagah. Walau bagaimanapun, selepas melihat latar belakang Sancho, beliau memahami mengapa pemain England itu enggan beralah.
“Jika anda dari jalanan, tiada siapa mahu memohon maaf. Anda mengaku anda tidak berlatih dengan baik, anda pemalas, semua perkara yang anda dituduh. Jadon (Sancho) tidak mahu perkara itu.
“Pengurus mempunyai perwatakan yang kuat dan hanya berkata bahawa apa yang beliau mahu ialah permohonan maaf. Jadon fikir beliau tidak melakukan apa-apa yang salah.
“Beliau tidak faham mengapa beliau perlu meminta maaf. Kadang-kadang anda perlu meminta maaf kerana pemain tidak akan menang bila menentang pengurus.
“Saya bercakap dengan Jadon sebagai jurulatih, mentor, kawan dan sebagai seseorang yang dibesarkan di jalanan dan tahu kodnya.
“Tapi Jadon hanya tidak melihatnya. Beliau berkata, ‘Saya tidak meminta maaf kerana jika saya melakukannya, saya meminta maaf kerana bersikap malas, selalu terlambat, tidak memberikan yang terbaik – itulah perkara yang saya perlu mohon maaf.’ Itulah sebab-sebabnya.
“Saya bercakap dengan pengurus dan saya berkata kepadanya bahawa anda tahu benda ini (perlu dikendalikan) dengan halus, dan saya fikir Jadon merasakan bahawa jika beliau meminta maaf maka beliau akan dikelaskan sebagai seseorang yang tidak berlatih keras, tidak bekerja keras, bahawa semua yang dikatakan terhadapnya adalah benar,” katanya kepada stesen radio Afrika Selatan, 947 Joburg.
Sancho kini dalam rangka persiapan menghadapi final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2023/24 yang berlangsung pada hujung minggu ini. Dortmund bakal turun menentang juara La Liga, Real Madrid.