Pemain baru Chelsea, Jadon Sancho mendedahkan beliau sebenarnya meminati pasukan itu sejak kecil lagi.
Pendedahan tersebut dibuat kepada selepas beliau akhirnya melengkapkan perpindahan pinjamannya ke Stamford Bridge.
“Semasa membesar, saya sebenarnya seorang peminat Chelsea. Saya takkan bohong. Didier Drogba dan Frank Lampard merupakan pemain kegemaran saya pada ketika itu. Saya amat sukakan Frank Lampard dan cara beliau bermain,” katanya kepada Talksport seperti dilaporkan Give Me Sport.
Pendedahan ini dijangka mengundang kemarahan penyokong Manchester United selepas melihat Sancho berada di Old Trafford sejak 2021.
The Blues berjaya mendapatkan khidmat Sancho secara pinjaman selama semusim. Ini selepas The Red Devils berkompromi dari segi yuran perpindahan untuk perpindahan tetap.
Sekiranya Chelsea berjaya berada dalam kelompok 14 pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25, mereka perlu membayar yuran perpindahan sebanyak £25 juta (RM141 juta).
Menurut wartawan sukan The Telegraph, James Ducker, Chelsea perlu bersedia membayar yuran perpindahan yang lebih tinggi sekiranya pasukan itu meraih kedudukan lebih baik dalam liga.
Sancho dijangka bersaing dengan ramai pemain sayap di Stamford Bridge. Antara pesaing beliau ialah Pedro Neto, Noni Madueke, Mykhailo Mudryk dan Christopher Nkunku.