Pemain import Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jalil Elias terpaksa menelan kepahitan apabila melihat pasukannya, Syria dibelasah Jepun 5-0.
Syria perlu menang ke atas Jepun jika ingin mengiringi Samurai Biru sebagai naib juara Kumpulan B ke pusingan seterusnya.
Impian anak buah Hector Cuper itu musnah apabila penyerang Feyenoord, Ayase Ueda membuka tirai jaringan pada minit ke-13.
Belum sempat Syria memperkemaskan rentak, mereka semakin ketinggalan apabila pemain sayap SC Freiburg, Ritsu Doan menggandakan kelebihan enam minit selepas itu.
Helang Qasiun makin derita apabila bek tengah veteran, Thaer Krouma menjaringkan gol sendiri pada minit ke-21.
Syria berusaha merapatkan jurang gol tetapi Samurai Biru selesa mempertahankan keputusan 3-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Jepun semakin ghairah memburu gol tambahan. Jentera serangan mereka diketuai Ueda, Takumi Minamino dan Takefusa Kubo terus memberi tekanan kepada pelawat.
Gol keempat yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-78 apabila Jepun dianugerahkan sepakan penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan pemain gantian, Yuki Soma yang menewaskan penjaga gol Syria berdarah Argentina, Esteban Glellel.
Minamino melengkapkan malam cemerlang Samurai Biru dengan menyumbat gol kelima pada minit ke-85. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sofascore memilih Doan sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Beliau mendapat 9.2 mata, 1.4 mata di hadapan Soma dan Ao Tanaka.
Perlawanan ini menyaksikan Jepun menamatkan kempen Kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 sebagai juara. Kini, Syria memerlukan bantuan Myanmar untuk menghalang Korea Utara daripada merekodkan kemenangan pada malam ini.