Penjaga gawang negara, Ahmad Syihan Hazmi mahu kekal berfikiran realisitik menjelang pertemuan berdepan Oman dalam aksi kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.
Menurut beliau, pasukan Oman kali ini agak berbeza setelah setelah berjaya merekrut jurulatih baharu yang sudah semestinya menggunakan taktikal yang baharu.
Oleh itu, beliau tidak mahu meletakkan sebarang harapan yang tinggi dan hanya perlu fokus kepada sasaran membawa pulang satu mata berharga di bumi Muscat.
”Kalau bagi Syihan, nak letak harapan tinggi itu tak boleh sebab kita tak tahu pihak lawan (Oman) itu macam mana dan dia pun guna jurulatih yang baharu dan taktikal yang baharu,” katanya kepada Astro Arena.
”Bagi Syihan, kita hanya perlu berusaha, bersemangat dan jangan hilang fokus. Kita sasarkan apa yang kita mahu capai dan setiap perlawanan ini kita kena ada sasaran.
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim ini juga mengingatkan rakan sepasukan dan semua agar sentiasa tenang dan mengikut corak permainan yang ditetapkan seperti biasa dan tidak perlu terlampau berfikir hingga menjejaskan rentak pasukan.
”Tak perlu nak obses dengan terlalu memikirkan yang kita mampu capai lebih-lebih lagi. Kita hanya perlu main seperti biasa tapi kita kena fokus dengan sasaran yang mahu dicapai,” tambah pemain berusia 28 tahun itu.
Sebelum ini, ketua jurulatih, Kim Pan-gon kekal optimis dan hanya menyasarkan satu mata untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur menjelang aksi seterusnya pada 26 Mac hadapan.
Syihan akan melakukan penampilan ke-22 bersama skuad kebangsaan sekiranya mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk diturunkan pada perlawanan ini.
Skuad negara bakal turun dengan misi mencuri satu mata ketika menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada awal pagi Jumaat waktu tempatan.