Advertisements
Japan Masters: Lee Zii Jia Ke Suku Akhir, Tundukkan Pemain Ke-34 Dunia
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia bekerja keras sebelum mara ke peringkat suku akhir Japan Masters 2024.

Ini selepas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu menewaskan pemain Chinese Taipei, Su Li Yang dalam aksi pusingan kedua kejohanan itu.

Selepas mengatasi cabaran rakan senegara, Justin Hoh di pusingan pertama, Zii Jia semakin bersemangat untuk meneruskan rentak kemenangan di Negara Matahari Terbit itu.

Li Yang menjadi pemisah antara beliau dan slot suku akhir. Ini kali kedua dua pemain ini berentap selepas pusingan pertama Swiss Open 2024.

Perlawanan tersebut memihak kepada Zii Jia di mana beliau meraih kemenangan 21-19, 21-12. Dari segi kedudukan ranking, kelebihan itu turut dimiliki juara Australian Open itu selaku pemain nombor tujuh dunia.

Set pertama menyaksikan Li Yang berusaha memberi tentangan sengit kepada Zii Jia. Keadaan ini menyebabkan kedua-dua pemain terikat pada kedudukan 19-19.

Walau bagaimanapun, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan Zii Jia membolehkan pemain berusia 22 tahun itu meraih kemenangan 21-19.

Set kedua menyaksikan juara Thailand Open 2024 itu bangkit. Zii Jia mempamerkan aksi mantap bagi membolehkan beliau mendahului pada kedudukan 11-5.

Kelebihan itu terus dipertahankan pemain nombor tujuh dunia itu sebelum meraih kemenangan 21-8. Ini memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.

Set penentuan menyaksikan Zii Jia terus diberi tentangan oleh Li Yang. Malangnya, beberapa pukulan bekas naib juara Taipei Open 2023 itu kerap terkena jaring.

Ini membuka ruang buat Zii Jia mendahului pada kedudukan 11-6. Kedudukan tersebut terus dipertahankan bekas juara All England Open 2022 itu sebelum meraih kemenangan 21-16.

Anak jati Alor Setar, Kedah itu mengiringi Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Leong Jun Hao dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong ke suku akhir.

Zii Jia bakal bertemu sama ada pilihan keempat kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie atau wakil Denmark, Rasmus Gemke di peringkat suku akhir.