Jaringan magis pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid di Liga Juara-Juara AFC (ACL) kembali menjadi bualan hangat peminat.
Skuad Harimau Selatan secara konsisten beraksi dalam kejohanan tertinggi di Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah mula membuka mata pasukan Asia tentang wakil Malaysia ini.
Laman Asian Champions League kembali memuat naik jaringan pemain sayap sensasi, Safawi Rasid yang pernah menjadi fenomena di rantau Asia ketika beraksi di ACL.
Pertemuan antara JDT dan wakil Shandong Luneng menyaksikan pasukan selatan tanah air negara ini tunduk dengan keputusan tipis 2-1.
Jaringan Safawi Rasid pada babak kedua menerusi satu percubaan jarak jauh selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum rembatannya menerjah jaring sekaligus menewaskan penjaga gol, Wang Dalei.
Laman ACL kembali mengulang tayang jaringan ini yang disifatkan sebagai jaringan terbaik dekad ini.
“Jaringan Safawi Rasid pada kempen ACL 2019 telah pun dinobatkan sebagai jaringan terbaik dekad ini,” ujar laman ACL.
Pemain berusia 27 tahun kelahiran Dungun ini sedang beraksi bersama Terengganu FC sebagai pinjaman daripada JDT.
“Kembali lebih kuat Safawi.
“Detik gemilang Safawi yang digilap oleh JDT,” tulis Rashid Salleh Yaakob di laman Facebook.
JDT kekal menjadi wakil tunggal Malaysia pada pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang bakal bermula September 2024.