Gol menakjubkan penjaga gol Penang FC II, Izzul Azry Abu Mansor ketika menentang Sri Pahang FC pada 24 Oktober 2024 tercalon untuk Gol Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK).
Sebaik melihat penjaga gol Tok Gajah berada di luar garisannya, Izzul melepaskan tendangan jauh yang melantun sebelum menerjah gawang tuan rumah.
Gol pada minit ke-55 itu memastikan Penang II meraih satu mata selepas mengikat Sri Pahang 2-2.
Apabila klip gol tersebut disiarkan di media sosial, klip tersebut tular dan menjadi bualan peminat bola sepak Malaysia.
Malah, ada yang menganggap gol tersebut hampir serupa dengan gol yang dijaringkan Syamsuri Mustafa dalam aksi separuh akhir Sukan SEA 2023 menentang Vietnam.
Bekas penjaga gol Terengganu FC melakukan sepakan jauh dari kotak penaltinya sebelum menerjah jaring Pahlawan Bintang Emas. Perlawanan itu berkesudahan dengan Vietnam menewaskan Malaysia 4-3.
Izzul dijangka berdepan cabaran untuk meraih anugerah Gol Terbaik ABK24-25. Ini kerana beberapa gol lain turut menjadi bualan peminat.
Antara gol yang tercalon dalam anugerah tersebut ialah gol Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim (JDT)), Stuart Wilkin dan Dominic Tan (Sabah FC), Filemon Anyie (Kuching City FC) dan Bruno Suzuki (PDRM FC).
Peminat bola sepak yang mahu mengundi masih berpeluang berbuat demikian sehingga 16 Mac, 11.55 malam.