Advertisements
Jaringan Torpedo Safee Sali Gamit Memori New Zealand vs Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
FIFPro

Jaringan deras Safee Sali dalam aksi New Zealand menentang Malaysia pada 23 Februari 2006 kembali menggamit memori penyokong negara.

Safee menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Norizan Bakar. Tidak seperti skuad hari ini yang turut dibarisi pemain warisan dan naturalisasi, kesemua pemain dalam skuad Harimau Malaya tahun 2006 dibarisi pemain tempatan.

Antara nama yang pernah menjadi sebutan penyokong negara satu ketika dahulu ialah Safee, Amri Yahyah, Syamsuri Mustafa, K. Nanthakumar dan Chan Wing Hoong.

Meskipun dilabel pasukan bukan pilihan, skuad negara berusaha memberi tentangan sengit kepada New Zealand. Selepas ketinggalan menerusi gol Campbell Banks, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Safee.

Rembatan deras beliau yang ketika itu beraksi bersama Selangor FC berjaya menewaskan penjaga gol utama New Zealand, Glen Moss.

Skuad negara kemudiannya tidak bernasib baik apabila Andrew Barron menjaringkan gol kemenangan buat All Whites pada minit ke-88.

Apabila mengenang kembali gol berkenaan, Safee bangga kerana Harimau Malaya pada ketika itu berjaya memberi saingan kepada New Zealand. Dan kini, beliau berharap aksi terbaru New Zealand-Malaysia bakal menjanjikan impak yang positif.

“Biarpun dengan semua pemain tempatan, kami dapat memberikan saingan dengan New Zealand, yang ketika itu berada di ranking yang agak tinggi.

“Kali ini, Harimau Malaya dibarisi oleh pemain warisan, naturalisasi dan tempatan, jadi ia mungkin akan memberikan impak yang positif,” katanya.

Malaysia bakal menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober. Dan sebagai persiapan menentang All Whites, mereka akan menentang Auckland FC pada 11 Oktober.