Jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy percaya barisan pemainnya mampu melakar kemenangan ke atas Malaysia pada awal pagi esok.
Keyakinan itu dilaungkan jurulatih Republik Czech itu dalam sidang media pra-perlawanan yang diadakan di Muscat, Oman semalam.
Silhavy percaya dengan persiapan rapi yang diatur sejak lapan hari lalu, Oman mampu menewaskan Malaysia dan merampas tampuk pendahulu Kumpulan D.
“Kita telah membuat persiapan rapi untuk perlawanan ini, semua orang sudah bersedia. Kita yakin dapat meraih keputusan positif (ke atas Malaysia),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Oman Daily.
Meskipun sedar dengan status sebagai pasukan pilihan kerana menduduki ranking ke-80, Silhavy enggan memandang rendah cabaran Harimau Malaya.
Ini kerana skuad negara memiliki barisan penyerang berwibawa yang mampu memberi cabaran kepada Oman.
“Kita telah mengkaji lawan kita (Malaysia) dengan baik dan kita juga telah mengenalpasti kekuatan mereka. Lawan memiliki barisan penyerang yang dikenali menerusi kepantasan mereka.
“Mereka juga amat berbahaya dalam situasi set-piece, ini menunjukkan mereka telah membuat persiapan rapi juga,” ujarnya.
Malaysia bakal berdepan Oman untuk aksi ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 di Muscat awal pagi esok sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac.