Pengendali baru Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Javier Jorda Ribera mahu membina asas yang kukuh untuk membantu skuad negara mencabar di peringkat antarabangsa.
Skuad negara berangkat ke Surakarta, Indonesia pada 20 Jun bagi mengharungi cabaran Kejuaraan B-16 ASEAN 2024.
Ini sebahagian daripada persiapan skuad muda Malaysia untuk mengharungi kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang berlangsung pada Oktober ini.
Ribera mengakui pasukan yang baru dibentuk ini ialah pasukan baru dengan sokongan staf kejurulatihan baru termasuk dirinya.
Sebelum dilantik sebagai pengendali skuad muda negara, jurulatih Sepanyol itu menggalas peranan sebagai pengarah akademi Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Namun begitu, Ribera melihat ini juga peluang untuk membina skuad negara dari awal agar dapat melakar pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa.
“Dan kita tahu apa yang ada di sini ialah kita ada kombinasi. Kita memiliki pasukan baru, kita ada staf (kejurulatihan) baru.
“Jadi, semuanya baru. Kita membina sebuah rumah (pasukan) bermula dari lantai. Kita harap kita dapat pergi sampai ke puncak,” katanya dalam sidang media khas pengenalan skuad Malaysia B-16 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Malaysia akan membuka kempen Kumpulan C dengan bertemu Timor-Leste pada 23 Jun. Ini disusuli dengan Australia pada 26 Jun dan Thailand pada 29 Jun.
Seandainya skuad negara berjaya layak ke separuh akhir, saingan akan berlangsung pada 1 Julai ini. Ini disusuli perlawanan final pada 3 Julai.
“