Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam aksi pra-musim di Sepanyol apabila menewaskan Costa City pada Isnin.
Aksi pra-musim kedua JDT di Sepanyol menyaksikan skuad Harimau Selatan ini turun menentang sebuah lagi pasukan tempatan di sana, Costa City selepas kalahkan Real Murcia Imperial.
Pengendali JDT, Xisco Munoz melakukan rombakan besar-besaran di dalam kesebelasan utama untuk aksi ini dengan Matt Davies, Hong Wan dan Nazmi Faiz antara yang dapat dikesan.
Tiada sebarang jaringan yang terhasil ketika sepanjang aksi di babak pertama apabila serangan JDT banyak kali berjaya disekat oleh barisan pertahanan Costa City bagi kedudukan terikat.
Di babak kedua, beberapa pertukaran dilakukan oleh barisan kejurulatihan JDT dalam usaha mencari keserasian dan untuk memburu gol dengan kemasukan peledak berbisa, Bergson Da Silva.
Kehadiran penyerang kelahiran dari Brazil itu telah membawa impak positif kepada jentera serangan JDT dan akhirnya gol yang dicari akhirnya dijaringkan oleh Bergson pada minit ke-68.
Tendangan percuma dari sebelah kanan pintu gol Costa City mencetuskan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti dan Bergson hadir di posisi tepat untuk meledak jaringan tunggal aksi.
Aksi di Estadi Olimpic Camilo Cano berakhir dengan keputusan 1-0 memihak JDT.
Selepas ini, JDT akan bertemu pasukan yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Cardiff City pada 9 Julai hadapan di Pusat Sukan San Pedro Del Pinatar.