Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan besar ke atas pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata dalam aksi persahabatan pada Khamis.
Perlawanan yang diadakan secara tertutup di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT terlebih dahulu memimpin aksi pada minit ke-25 permainan hasil jaringan Jonathan Viera.
Gol tunggal dari bekas tonggak Villareal itu kekal sehingga babak pertama berakhir tatkala kedua-dua kelab berusaha keras bagi memburu jaringan dengan asakan bertali arus.
Aksi makin menarik di separuh masa kedua apabila bintang baharu JDT, Samu Castillejo cemerlang membolosi gawang pelawat ketika perlawanan memasuki minit ke-57.
Pada minit ke-75, giliran Alvaro Gonzalez pula melakar nama sebagai penjaring gol ketiga buat pasukan bimbingan Hector Bidoglio sekaligus menambah tekanan buat Albirex Niigata.
Walaupun pelawat berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Shingo Nakano, namun Oscar Arribas menutup aksi dengan cemerlang hasil gol ke-4 di penghujung permainan.
Aksi pemanas badan ini dilihat sebagai salah satu usaha JDT bagi memastikan para pemain Harimau Selatan kekal cergas ketika liga domestik sedang berehat untuk seketika.
Sebaik aksi domestik kembali bersambung, JDT dijadualkan terbang ke utara tanah air untuk bertemu Kedah di Stadium Darul Aman pada 29 Mac hadapan.