Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen pra-musim di Sepanyol dengan membelasah Real Murcia Imperial.
Sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu, JDT telah terbang ke Sepanyol serta mengatur 8 aksi pemanas badan menentang kelab dari Eropah dan Asia termasuklah Real Murcia Imperial ini.
Seramai 4 pemain baharu JDT telah diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Xisco Munoz untuk berada di dalam senarai kesebelasan utama antaranya Jon Irazabal, Antonio Glauder, Hector Hevel dan Jairo Da Silva.
Seawal minit ke-5 permainan, pasukan Harimau Selatan ini sudah berada di hadapan hasil jaringan penyerang berbisa, Bergson Da Silva apabila berjaya menewaskan penjaga gol lawan.
Penyerang baharu JDT, Jairo Da Silva menambah kelebihan buat juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu apabila turut meledak jaringan yang juga gol pertama beliau untuk skuad Harimau Selatan itu.
Separuh masa pertama tamat, Real Murcia Imperial 0-2 JDT.
Kembali ke babak kedua, JDT tak perlu menunggu lama bagi mencipta jaringan ke-3 selepas penyerang Harimau Malaya, Romel Morales menggegar gawang lawan meskipun baharu dibawa masuk.
Pada minit ke-64, Romel Morales sekali lagi memahat nama selaku penjaring gol buat pasukan JDT apabila menyumbat jaringan kedua peribadi dan ke-4 kepada kelab gergasi dari Malaysia ini.
Aksi di Pusat Latihan Melia Vilaitana tamat dengan keputusan 4-0 memihak JDT.
Selepas ini, kekuatan JDT akan sekali lagi diuji oleh kelab dari Sepanyol iaitu Costa City pada Isnin, 7 Julai di Estadi Olimpic Camilo Cano untuk perlawanan kedua kempen pra-musim di sana.