Di Malaysia, terdapat tiga pertandingan bola sepak untuk akar umbi iaitu Piala MFL (bawah 23 tahun), Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-19). Begitupun, tiada pertandingan khusus untuk pemain berstatus B-13 hingga B-18 – sesuatu yang mahu diubah oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).
JDT menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alistair Edwards berhasrat menganjurkan satu pertandingan akademi antarabangsa bagi membantu memantapkan pembangunan pemain-pemain remaja JDT.
Ini kerana berdasarkan struktur pertandingan semasa yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiada pertandingan yang dianggap sesuai untuk pemain-pemain B-13 hingga B-18. Ini menyukarkan pemain mendapat pendedahan pertandingan yang berkualiti bagi memperkasa bakat-bakat mereka.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan kejohanan remaja antarabangsa untuk menyediakan pertandingan yang lebih mantap untuk pelatih-pelatih Akademi JDT.
“Struktur semasa di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Malaysia Football League hanya menyediakan pertandingan untuk pasukan Bawah-19, Bawah-23 hingga ke pasukan senior sahaja.
“Ianya sangat diperlukan untuk mempunyai pertandingan kompetitif bagi semua pasukan akademi kami kerana kami mempunyai pasukan Bawah-13 hingga Bawah-18 yang kekurangan perlawanan berkualiti disebabkan ketiadaan pertandingan yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman media sosial Johor Southern Tigers.
Menerusi pertandingan ini, ia akan dibuka kepada semua akademi baik dari dalam mahupun luar negara. Begitupun, sebarang maklumat tentang kejohanan ini hanya akan didedahkan selepas JDT mendapat lampu hijau sebagai penganjur daripada badan induk bola sepak itu.
Ramai penyokong menyifatkan usaha tersebut merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang Harimau Selatan melahirkan lebih ramai bakat baru dalam pasukan. Siapa tahu, menerusi pertandingan ini, lebih ramai yang mengikut jejak Arif Aiman Hanapi dan Feroz Baharudin beraksi dalam pasukan utama JDT.