Johor Darul Ta’zim (JDT) FC terus berusaha membuat penambahbaikan kepada pasukan terutama dari segi infrastruktur. Terbaru, Harimau Selatan merancang untuk membina sebuah stadium mini baru di Iskandar Puteri bagi menggantikan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah (SMTUTA).
Pengumuman ini dibuat JDT FC menerusi laman media sosial Johor Southern Tigers hari ini. Pembinaan stadium mini baru ini dibuat bagi menambahbaik kualiti pemain-pemain yang dihasilkan akademi JDT FC.
Ketika ini, SMTUTA digunakan oleh skuad bawah 15 tahun dan bawah 16 tahun Harimau Selatan. Selain itu, ia turut digunakan oleh pasukan-pasukan Liga Super sebagai padang latihan mereka setiap kali bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pelan rekaan stadium mini di Iskandar Puteri itu sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa. Pengurusan JDT FC menjangkakan kerja-kerja pembinaan stadium itu bakal bermula tidak lama lagi.
Sekiranya siap, stadium mini yang akan dibina di Medini, Iskandar Puteri itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan.
Kemudahan yang dijangka wujud ialah padang bola sepak, tempat duduk berbumbung, pejabat-pejabat, kedai-kedai komersil, bilik persalinan, surau dan kawasan terbuka untuk aktiviti bukan bola sepak.
Stadium Mini Iskandar Puteri dijangka digunakan sebagai stadium rasmi pasukan akademi Harimau Selatan. Dengan kewujudan stadium mini baru ini, ia dijangka menambah lagi pendapatan yang diterima kelab.
Di media sosial, ramai menyambut baik inisiatif yang diumumkan pengurusan JDT FC. Ini menunjukkan Harimau Selatan sentiasa berpandangan jauh dari segi pengurusan termasuk infrastruktur.