Umum mengetahui Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menang ke atas Perak FC dengan agregat 12-2.
Namun disebalik kemenangan 8-1 pada aksi separuh akhir kedua tempoh hari, ada hadiah yang diberikan oleh JDT kepada peminat cilik mereka yang berusia 12 tahun.
Peminat cilik JDT yang bernama Akmal telah menulis sepucuk surat dan telah diposkan ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Ketua Unit Komersial JDT, Kevin Ramalingam mewakili pihak kelab telah pergi ke rumah Adik Akmal dan menjemput sekeluarga ke SSI bagi menonton perlawanan separuh akhir kedua menentang Perak pada 2 November.
“Kelab Bolasepak JDT nak jemput satu family pergi tengok game. Kita hantar kereta, bawa semua sekali dan bawa awak masuk dressing room. Nanti kita akan kenalkan dengan semua player. Kita hadiahkan jersi satu dan adik sendiri boleh minta player sign satu-satu,” jelas Kevin kepada adik Akmal seperti yang disiarkan di JST.
Ketika penjelasan yang dibuat Kevin di hadapan adik Akmal, peminat cilik itu nyata terkejut seolah-olah tidak menyangka pihak JDT sanggup memenuhi impiannya menonton perlawanan di SSI buat pertama kali dalam hidupnya.
Tenryata impiannya telah ditunaikan dan beliau dilihat bersalaman dengan pemain-pemain JDT seperti Bergson, Arif Aiman, Matthew Davies, Hong Wan dan termasuk jurulatih JDT, Esteban Solari.
Lebih manis lagi, perlawanan yang ditonton adik Akmal itu berakhir dengan pesta gol iaitu kemenangan besar 8-1 ke atas Perak.