JDT Buat Nagoya ‘Semput’
Asia
Advertisements

Wakil Malaysia dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), Johor Darul Ta’zim (JDT) turun bertemu kelab gergasi Jepun, Nagoya Grampus dalam perlawanan ke-5 kumpulan G di Stadium Rajamangala sebentar tadi.

Pastinya kesebelasan utama yang diturunkan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora mencetuskan tanda tanya apabila kebanyakan pemain yang diturunkan merupakan pemain yang jarang diturunkan dalam pasukan utama JDT seperti Hazwan Bakri selaku penggempur utama dan Haziq Nadzli di pintu gol. Lebih mengejutkan tiada nama Safawi Rasid dan Bergson da Silva dalam senarai simpanan.

Faktor kepadatan jadual pastinya diambil kira bagi mengelakkan kecederaan kepada pemain-pemain utama skuad JDT.


Perlawanan dimulakan dan JDT bermula dengan agak goyah terutamanya di bahagian pertahanan. Pada minit ke-4, Nagoya dihadiahkan sepakan penalti selepas Mateus Castro dijatuhkan hasil terjahan dari belakang oleh pertahanan JDT, Adam Nor Azlin. Mateus yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Haziq Nadzli di gawang gol. Nagoya mendahului JDT 1-0.

Advertisements

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Benjamin Mora melakukan asakan untuk mendapatkan jaringan penyamaan. Namun benteng Nagoya cukup ampuh dalam mengekang asakan JDT.

Pada minit ke-28, kealpaan Corbin Ong di pertahanan kiri membawa padah apabila Nagoya berjaya mencetak gol kedua melalui rembatan lencong menarik Hiroyuki Abe dari luar kotak penalti yang gagal ditepis Haziq. Nagoya menjarakkan kedudukan 2-0.

3 minit sebelum permainan ditamatkan, satu rembatan deras Corbin Ong dari luar kotak penalti gagal ditampan kemas penjaga gol Nagoya, Mitchell Langerak dan bola jatuh tepat di kaki pemain sayap JDT, Ramadhan Saifullah yang mudah menolak masuk untuk gol pertamanya dalam pentas tertinggi Asia ini.

Advertisements

Tamat separuh masa dengan Nagoya mendahului JDT dengan kedudukan 2-1.

Babak kedua bermula dengan JDT terus mencuba mencari gol penyamaan. JDT hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-61 selepas hantaran dari Adam tepat kepada Velazquez yang bertindak merembat bola kencang tetapi rembatannya menggegar palang gol.

Kemasukan Sumareh dan Syafiq Ahmad sedikit sebanyak memberi tekanan kepada benteng Nagoya. Asakan bertali arus JDT terus dilakukan sehingga wisel penamat ditiupkan. Nagoya Grampus memenangi perlawanan 2-1.

Walaupun tewas, pujian harus diberikan kepada pemain JDT yang bermain bermati-matian untuk memberi saingan sengit kepada kelab gergasi Jepun itu sehingga wisel penamat. Dengan kekalahan ini, langkah JDT untuk ke pusingan 16 terhenti dan akan bertemu dengan pasukan Ratchaburi FC dari Thailand untuk perlawanan terakhir Kumpulan G.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram