Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memecahkan rekod kehadiran tertinggi musim ini ketika mana pasukan gergasi tanah air itu beraksi menentang Shanghai Shenhua dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.
Menerusi satu pengumuman dari laman sosial rasmi JDT, seramai 31,386 penyokong telah membanjiri Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan aksi menarik JDT di pentas Asia.
Kehadiran tersebut merupakan kehadiran tertinggi yang diterima JDT sepanjang melalui musim 2024/2025 ini.
“Terima kasih kepada 31,386 penyokong yang hadir pada perlawanan AFC Champions League Elite 2024-25 antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Shanghai Shenhua di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ini adalah kehadiran tertinggi untuk musim 2024-25. Jumpa lagi dalam perlawanan akan datang. Luaskan Kuasamu Johor,” umum JDT di laman sosial X.
Pada aksi tersebut, JDT menampilkan aksi memukau apabila mudah menewaskan Shanghai Shenhua dengan keputusan 3-0.
Gol-gol JDT telah dijaringkan oleh Arif Aiman, Jorge Obregon dan sepakan percuma menarik daripada Juan Muniz.