Pra-undian Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2024/25 menyaksikan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) berada dalam balang 1.
Harimau Selatan layak ke saingan sulung ACLE 2024/25 selepas muncul juara Liga Super musim 2023. Musim itu juga menyaksikan JDT mengungguli saingan Piala FA, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia.
Kini, saingan sulung ACLE menyaksikan Harimau Selatan berada dalam balang 1 seperti yang dikongsikan Johor Southern Tigers. Turut berada dalam balang sama ialah Buriram United, Shanghai Port, Ulsan HD dan Central Coast Mariners.
Sementara balang 2 ACLE pula terdiri daripada Kawasaki Frontale, Yokohama F Marinos, Pohang Steelers dan Shanghai Shenhua. Satu lagi slot bakal diisi oleh pemenang play-off antara Shandong Taishan dan Bangkok United.
Berbeza dengan format Liga Juara-Juara AFC (ACL) sebelumnya yang menggunakan format kumpulan, ACLE menggunakan format liga membabitkan 12 pasukan Asia Timur. JDT bakal mengharungi lapan perlawanan – empat di tempat sendiri dan empat di tempat lawan.
Lapan pasukan teratas bakal mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. JDT bukan satu-satunya pasukan yang menunggu keputusan undian rasmi pada 16 Ogos ini.
Ini kerana satu lagi wakil negara dan pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC turut menunggu keputusan undian rasmi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) msuim 2024/25. Keputusan undian juga bakal diketahui pada hari yang sama.