Biarpun perlawanan menentang Albirex Niigata Singapura hanya perlawanan persahabatan kelab, ia dipandang serius oleh jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Esteban Solari. Ini dibuktikan apabila mereka membelasah Albirex 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.
Walaupun ramai pemain JDT FC dipanggil menyertai skuad kebangsaan masing-masing, Solari masih berupaya menurunkan kesebelasan utama yang kuat menentang White Swans.
Antara yang diberi peluang ialah kapten Farizal Marlias, Safiq Rahim, Mohamadou Sumareh dan Aidil Zafuan Abdul Radzak. Solari juga turut menurunkan penjaring terbanyak Liga Super ketika ini, Fernando Forestieri.
Sebaik sepak mula, JDT FC mengasak Albirex bagi mencari gol pendahuluan. Dan penyokong tuan rumah ceria apabila Diogo Luis Santo membolosi gawang pelawat pada minit ke-18.
Tersentak, White Swans yang dibimbing jurulatih Kazuaki Yoshinaga cuba bangkit memburu gol penyamaan. Malangnya, giliran Forestieri pula mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-27.
Harimau Selatan terus berusaha memburu gol tambahan tetapi Albirex memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan JDT FC menambah tiga lagi gol menerusi Muhd Nazmi Faiz Norhisam (minit ke-53), Bergson da Silva (minit ke-64) dan Aysar Hadi (minit ke-67).
Bagaimanapun, pasukan pelawat meraih gol saguhati menerusi Seia Kunori pada minit ke-63. Keputusan 5-1 ini kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan perlawanan ini memperlihatkan Harimau Selatan berada di kelas tersendiri di peringkat Asia Tenggara. Manakala bagi Albirex pula, ia diharap dapat menjadikan mereka lebih mantap menjelang aksi Liga Perdana Singapura (SPL) seterusnya menentang Tanjong Pagar pada 24 Jun ini.