Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)-GBX Esports bakal menyertai edisi sulung saingan e-sukan Liga Juara-Juara AFC Elit (eACLE).
Ini selepas pasukan itu mengumumkan penyertaan dalam kejohanan itu menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.
“Saingan e-sukan Liga Juara-Juara AFC Elit (eACLE) – kami datang!” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Kita akan membuka kempen kita di Jeddah, Arab Saudi pada 24 April 2025! Teruskan bersama untuk mendapatkan kemas kini tentang pengembaraan kita!”
eACLE menggunakan format sama seperti ACLE iaitu Liga Timur dan Liga Barat. Liga Timur menyaksikan penyertaan JDT-GBX Esports, Gwangju FC, Vissel Kobe, Yokohama F. Marinos, Ulsan HD, Pohang Steelers dan Shanghai Shenhua.
Liga Barat pula menyaksikan penyertaan Al-Nassr, Al-Wasl, Al-Ain, Al-Rayyan, Pakhtakor, Persepolis dan Al-Gharafa.
JDT-GBX Esports bakal membuka kempen eACLE dengan menentang Pohang Steelers pada 24 April.