Pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Helio Neto teruja untuk menyertai kelab gergasi itu bagi menghadapi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim hadapan.
Beliau berkata, JDT merupakan kelab yang sangat hebat baginya dan sudah tentu menjadi juara bakal menjadi sasaran mereka.
“Mengenali JDT, kita harus menjadi juara, jika tidak, ia sesuatu yang tidak bagus,” katanya kepada Astro Arena.
“Saya harap kita mampu menjadi juara, tetapi dalam futsal, apa-apa boleh berlaku,” tambahnya lagi.
Pemain kelahiran Brazil ini juga berkongsi rasa seronoknya dengan suasana baharu bersama naib juara MPFL 2023 itu dan berjanji akan berusaha keras bagi membantu kelab baharunya itu.
“Saya sangat gembira kerana pasukan ini sangat bagus dan saya mempunyai rakan-rakan yang baharu,” ujar beliau penuh bangga.
“Saya akan bekerja keras memandangkan JDT adalah kelab yang sangat besar di Malaysia.”
Bekas pemain Selangor TOT ini menyertai JDT beberapa minggu yang lalu bagi mengisi kuota pemain import pasukan berkenaan.
Musim lalu, JDT terlepas untuk merangkul kejuaraan MPFL dan Piala Futsal Malaysia apabila dikecewakan seteru utama, Pahang Rangers dalam aksi final.
Sudah tentu, musim ini skuad Harimau Selatan ini mahu bangkit mengubati kekecewaan lalu apabila sepak mula MPFL dijadualkan berlangsung 17 Februari ini.