Selepas sebelum ini mengumumkan perbincangan bersama Life Fitness, JDT mengumumkan kerjasama dengan satu lagi syarikat global iaitu HID Global. Menerusi kerjasama ini, ia bakal menambahbaik sistem kemasukan penyokong ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kerjasama JDT-HID Global dicapai selepas pengurusan syarikat mengadakan perbincangan bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ) merangkap pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim di Dubai.
HID Global merupakan peneraju organisasi pengurusan kawalan akses yang telah terlibat dalam tiga edisi terakhir Piala Dunia termasuk edisi Qatar 2022 dan beberapa acara berstatus benua di seluruh dunia.
Sebagai permulaan, kepakaran yang dimiliki HID Global akan digunakan di lawang putar/’turnstiles’ untuk kemasukan penyokong ke SSI. Ini menjadikan SSI sebagai stadium pertama di Malaysia menggunakan sistem tersebut bagi memberi kemudahan kepada penyokong.
Di samping itu, ini membantu JDT memperolehi lebih banyak maklumat mengenai corak kemasukan penyokong. Ini dapat membantu kelab menambahbaik perkhidmatan sedia ada kepada para penyokong dan mempengaruhi keputusan kelab untuk jangka masa panjang.
Dan paling penting, sistem HID Global ini dapat mengelak isu pemalsuan tiket dengan lebih baik. Ini sekaligus membantu JDT memantapkan sistem keselamatan mereka.