Penglibatan secara kompetitif oleh juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah bola sepak Asia telah membawa satu dimensi baharu dalam usaha mengetengahkan lebih ramai bakat tempatan di Asia.
Skuad Harimau Selatan jelas menjadi penanda aras yang cukup signifikan buat setiap kelab dalam Liga Malaysia tentang kemampuan sebenar apabila beraksi dalam kejohanan besar seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Selain mencipta fenomena apabila berjaya melangkah ke pusingan kalah mati musim lalu, JDT juga membuktikan bahawa pemain tempatan sebenarnya mempunyai kualiti yang cukup baik untuk bersaing dengan negara lain.
Perkara ini terbukti menerusi kemenjadian bakat pemain sayap lincah Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi yang sudah mula membuka mata kelab gergasi di Asia.
Menurut beberapa sumber dari dalam dan luar negara, pemain sayap berusia 20 tahun itu telah menarik minat kelab Liga 1 Jepun, Kashiwa Reysol untuk membawanya ke sana.
Perkara ini telah disokong oleh Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menjelaskan bahawa peluang pasukan Liga M beraksi pada Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC telah memberi peluang untuk mereka memasarkan pemain kepada pasukan gergasi lain.
“Dengan adanya pasukan kita yang beraksi di saingan pertandingan Asia, ini memberikan ‘visibility’ (keterlihatan) kepada bakat yang ada dalam negara ini. Kita harus menerima hakikat bahawa tidak ramai yang memandang pasukan dalam negara ini.”
“Jadi apabila pasukan kita beraksi misalnya di ACL dan Piala AFC, ini membuka mata pihak luar bahawa kita pun ada pemain yang hebat.”
“Ini juga boleh membuka laluan kepada bakat kita untuk diketengahkan dan pihak yang selama ini tidak tahu, jadi tahu kerana pembabitan kita di pertandingan Asia,” katanya kepada Berita Harian.
Arif bagaimanapun menjelaskan bahawa fokusnya kini adalah untuk membantu JDT mara lebih jauh di pentas ACL dan meraih lebih banyak kejuaraan.