Aksi final Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024 menyaksikan JDT menjulang kejuaraan buat kali pertama setelah menewaskan pasukan pencabar, Selangor di Axiata Arena pada Ahad.
Setelah menyingkirkan Pahang Rangers di separuh akhir, Selangor bakal berdepan JDT yang turun dengan misi untuk menebus duka tewas di perlawanan akhir musim lalu.
Barisan pemain JDT diketuai oleh Azrul Hadee yang diberi peranan mengawal pintu gol Harimau Selatan sementara Selangor mempertaruh gandingan Syahir Iqbal dan Gabriel Rossa.
Seawal minit keempat perlawanan, JDT sudah di hadapan 1-0 menerusi rembatan Bruno Taffy yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Syawal Sabaruddin dan menerjah gawang Selangor.
Seakan tersentak, Gergasi Merah terus merangka serangan dalam usaha memburu gol penyamaan hasil gerakan Khairul Effendy serta Wellinton Pereira namun digagalkan benteng JDT.
Usaha berterusan Selangor akhirnya mendatangkan hasil apabila pemain muda, Syahir Iqbal Khan berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-17 untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Separuh masa pertama tamat, JDT 1-1 Selangor.
Kembali dari rehat, peminat Harimau Selatan kembali ceria dengan jaringan kedua pasukan hasil penyudah dari Firdaus Ambiah di minit ke-27 membolehkan JDT mendahului sekali lagi.
Enam minit berselang, giliran Azwann Ismail menggandakan kelebihan JDT dengan jaringan ketiga hasil serangan balas pantas yang dilancarkan membuatkan Selangor ketinggalan 2 gol.
Aidil Sharin kembali menghidupkan peluang buat The Red Giants dengan gol kedua ketika pada minit ke-35 setelah percubaan kaki kirinya berjaya menewaskan Azrul Hadee.
Perlawanan di Axiata Arena berakhir dengan keputusan 3-2 memihak JDT
Ini merupakan kejuaraan pertama buat JDT setelah kecewa tewas di pentas akhir Malaysia Futsal Cup 2023 di tangan Pahang Rangers menerusi penentuan sepakan penalti.