Pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio ingin melebarkan rekod buruk Ulsan HD menjelang aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Selepas tiga perlawanan Liga Timur ACLE, The Tigers kini di tangga tercorot. Menariknya, pasukan itu menjadi mangsa tiga kelab Jepun iaitu Kawasaki Frontale, Yokohama F. Marinos dan Vissel Kobe.
Lebih pahit, The Tigers juga tidak merekodkan sebarang jaringan dalam tiga aksi berkenaan dan dibolosi sebanyak tujuh kali.
Situasi ini tidak dibantu dengan rekod baik yang dimiliki JDT ke atas Ulsan. Dalam tiga pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan itu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), kesemuanya dimenangi Harimau Selatan.
Meskipun Ulsan kini berada di kedudukan tercorot Liga Timur ACLE, Bidoglio masih menganggap pasukan Korea Selatan itu satu pasukan yang sukar. Ini kerana The Tigers baru saja muncul juara K-League 1 musim 2024 selepas menewaskan Gangwon.
Justeru, Bidoglio mahu barisan pemain Harimau Selatan menampilkan aksi terbaik jika mahu melebarkan rekod buruk The Tigers di SSI.
“Fokus kita ialah untuk menjadi watak utama (ketika menentang Ulsan), cuba bermain di kawasan pihak lawan. Kita cuba mendapatkan bola, (pergerakan) kita perlu menjadi dinamik dan kuat.
“Kita memiliki pemain-pemain bagus di tempat sendiri dan kita perlu beri kegembiraan kepada para penyokong kita,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan JDT-Ulsan.
Bidoglio turut melihat kekalahan JDT di tangan Gwangju pada 22 Oktober lalu tidak akan menggugat rentak pasukan itu dalam saingan ACLE.
Ini kerana meskipun ACLE satu kejohanan yang sukar. beliau percaya persembahan bagus ditampilkan anak buahnya mampu membantu mereka kembali bangkit di Asia.
“Kita mesti kekalkan penguasaan bola dan pamerkan posisi permainan yang kompak di bahagian pertahanan dan serangan.
“Kita mesti meneruskan rentak baik kerana saingan ACLE cukup sukar. Tetapi para pemain telah mempamerkan persembahan yang bagus, jadi kita perlu teruskannya,” ujarnya.
Harimau Selatan bakal berhadapan dengan Ulsan HD di SSI pada 5 November ini. Aksi ini berpotensi merekodkan kehadiran lebih 30,000 penyokong – sama seperti yang disaksikan semasa JDT menentang Shanghai Shenhua pada 1 Oktober lalu.