Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) merancang untuk menganjurkan sambutan keraian paling besar dalam sejarah kelab.
Terdahulu, skuad Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan Liga Super ke-11 berturut-turut selepas menumpaskan Perak hasil jaringan Jese dan Jorge Obregon pada 24 Februari lalu di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kejayaan itu sekali lagi menyemarakkan semangat para penyokong setia yang saban tahun menantikan majlis penyerahan trofi serta persembahan penuh warna-warni di gelanggang keramat JDT.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram rasmi Johor Southern Tigers, sambutan terbesar dalam sejarah kelab dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi bagi meraikan kejayaan JDT sebagai juara Liga Super 2024–2025.
“Perayaan terbesar dalam sejarah JDT bakal tiba! Anda pasti tidak mahu melepaskannya,” ujar Johor Southern Tigers.
Bagaimanapun, tarikh rasmi sambutan tersebut masih belum diumumkan. Untuk makluman, aksi terakhir JDT di SSI adalah pada 10 April sebelum terbang ke Sarawak bagi menghadapi Kuching City dalam perlawanan penutup musim.
Untuk rekod, sambutan musim lalu turut mencipta fenomena tersendiri apabila 3 artis antarabangsa iaitu French Montana, Vegedream serta Jabbawockeez yang diundang khas untuk memeriahkan malam kejuaraan.