JDT Rangkul Gelaran Juara Piala MFL Atasi Penang
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) II muncul juara Piala MFL musim 2024/25 dengan mengalahkan Penang FC II di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

JDT II yang dibimbing Gonzalo Sanz Zaballos memburu kemenangan bagi memastikan gelaran juara Piala MFL dalam genggaman. Penang II yang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap dapat melakar kejutan di SSI.

JDT II diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain senior iaitu Romel Morales, Heberty Fernandes, Shahrul Saad dan kapten, Shane Lowry.

Ad

Penjaring gol kemenangan Penang ke atas KL City FC, Alif Ikmalrizal Anuar diletakkan di bangku simpanan pelawat.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit sebagai penghormatan kepada pemergian bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ad
Ad

Separuh masa pertama menyaksikan JDT II berusaha merobek gawang Penang II menerusi gandingan Heberty, Gabriel Nistelrooy dan Morales.

Ad

Nistelrooy menyumbat gol ke-23 musim ini pada minit kesembilan dengan melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Penang II, Haziq Mukhriz Hasemuddin.

Enam minit selepas itu, Najmudin Akmal Kamal Akmal menggandakan kelebihan skuad muda Harimau Selatan. Ini disusuli gol ketiga yang dijaringkan Morales pada minit ke-22.

Najmudin memastikan JDT II mendahului 4-0 sehingga rehat separuh masa menerusi gol pada minit ke-27.

Bersambung selepas rehat, skuad muda Harimau Selatan terus bernafsu mencari jaringan tambahan di SSI.

Najmudin mencipta hatrik dengan menewaskan Haziq buat kali ketiga pada minit ke-50. Morales menambah gol keenam JDT II 10 minit selepas itu.

Penang II makin derita apabila JDT II dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria. Nistelrooy tenang menewaskan Haziq untuk menyumbat gol ketujuh tuan rumah pada minit ke-66.

JDT II berusaha menambah jaringan tambahan tetapi keputusan 7-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini sudah cukup buat Harimau Selatan muncul juara dengan 53 mata, satu mata di hadapan Selangor.

Kejayaan ini sekaligus menebus kekecewaan JDT II selepas bergelar naib juara Piala MFL pada musim 2023.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments